Ziarah

Ziarah

Ziarah

Ziarah - Mekah

Kota suci Islam Mekah, atau nama penuhnya Makkah al-Mukarramah adalah tempat lahirnya Nabi Muhammad SAW dan juga tempat Baginda menerima wahyu pertama daripada Allah SWT. Ka’bah yang merupakan bangunan paling suci di dalam Islam ditengah-tengah Masjidil Haram juga terletak di kota ini. Makkah dikunjungi berjuta umat Islam yang mengerjakan ibadah Umrah dan Haji setiap tahun.

Masjidil Haram Masjidil Haram adalah masjid yang paling suci di dalam Islam. Ia juga merupakan masjid yang terbesar di dalam dunia. Di sini terletak: Kaabah, atau Baitullah yang bermaksud “Rumah Allah”, yang merupakan Kiblat bagi umat Islam dan juga bangunan yang dikelilingi jemaah Haji dan Umrah ketika mengerjakan ibadat Tawaf; Hajarul Aswad iaitu batu hitam yang terletak di penjuru Ka’bah. Di sini adalah tempat memulakan Tawaf serta di mana Istilam iaitu amalan mengucup Hajarul Aswad atau memberi isyarat dengan tangan dilakukan semasa Tawaf; Bukit Safa dan Bukit Marwah di mana ibadat Saie dilakukan semasa mengerjakan Haji dan Umrah; Serta banyak lagi tempat-tempat penting yang lain seperti Maqam Ibrahim, Hijir Ismail, Rukun Yamani dan telaga air Zamzam.

Jabal al-Nour Jabal al-Nour, atau “Bukit Nur”, yang terletak kira-kira 5km dari Masjidil Haram adalah gunung yang bersejarah bagi umat Islam. Di puncak gunung ini adalah di mana terletaknya Gua Hira iaitu tempat Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama daripada Allah SWT.

Masjid Jin Masjid Jin, atau turut dikenali sebagai Masjid al-Bayah atau “Masjid Ketaatan”, adalah salah satu daripada masjid tertua di Makkah. Masjid ini dibina di tapak yang telah disebut di dalam surah Al-Jinn di mana sekumpulan jin telah berkumpul untuk mendengar bacaan Al-Quran oleh Nabi Muhammad. Jin-jin tersebut kemudian memeluk Islam dan melafazkan bayah, atau ketaatan, kepada Baginda SAW. Terletak berhampiran tanah perkuburan Jannatul Mualla, Masjid Jin hari ini telah dikelilingi hotel-hotel dan kedai-kedai di kota Mekah.

Ziarah - Madinah

Kota yang bercahaya Madinah, atau nama penuhnya Al Madinah Al Munawarrah yang bermaksud “kota yang bercahaya”, adalah tempat terletaknya Masjid Nabawi, atau Masjid Nabi. Selain itu, terdapat banyak lagi tempat-tempat bersejarah di kota Madinah yang sering dikunjungi jemaah-jemaah Haji dan Umrah.

Masjid Nabawi Masjid kedua yang dibina oleh Nabi Muhammad SAW, Masjid Nabawi adalah masjid kedua terbesar serta yang kedua paling suci di dalam Islam. Di Masjid Nabawi juga terdapat Makam Rasulullah SAW. Asalnya sebuah bangunan terbuka yang digunakan sebagai pusat komuniti, mahkamah dan sekolah agama, Masjid Nabawi sudah dibesarkan beberapa kali oleh pemerintah-pemerintah Islam. Pada tahun 1909, masjid ini menjadi bangunan pertama di Semenanjung Arab yang dilengkapkan dengan lampu elektrik. Makam Nabi Muhammad SAW berada di bawah Kubah Hijau sementara kawasan di antara Makam Nabi dan mimbar masjid dikenali sebagai Raudhah. Raudhah yang digelar “taman syurga” adalah tempat yang dikatakan paling mustajab untuk berdoa.

Masjid Quba Masjid Quba adalah masjid pertama yang telah dibina oleh orang Islam. Masjid ini diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW semasa Baginda membuat persinggahan di Quba ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Masjid Quba juga dikatakan adalah masjid di mana solat Jumaat yang pertama telah didirikan dan diimamkan oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda juga bersabda bahawa “sesiapa yang bersuci (berwuduk) di rumahnya dan kemudian pergi ke Masjid Quba lalu mendirikan solat di dalamnya, ganjarannya adalah sama dengan pahala ibadah Umrah”. (HR Ibn Majah) Masjid Quba telah dibesarkan dan dilengkapkan dengan kemudahan untuk menampung lebih dari 30 ribu orang pengunjung.

Jabal Uhud Jabal Uhud adalah tempat berlakunya perang kedua terbesar di dalam sejarah Islam. Perang di antara tentera Islam dari Madinah yang diketuai Nabi Muhammad SAW dan tentera Quraisy dari Makkah ini berlaku pada tahun 625 Masihi. Jabal Uhud mempunyai ketinggian 1,077 meter dan para pengunjung boleh mendaki sehingga ke puncak gunung untuk melihat lokasi di mana berlakunya Perang Uhud. Terdapat sebilangan gua di Jabal Uhud termasuk Gua Uhud iaitu tempat Nabi Muhammad SAW berlindung ketika berperang. Makam Syuhada Uhud yang merupakan makam para sahabat yang gugur di dalam Perang Uhud juga terletak di sini.

Lebih banyak untuk diterokai

Terokai sekarang

Terokai sekarang

Terokai sekarang