Arab Saudi
Arab Saudi
Jeddah
Madinah
Arab Saudi
Jeddah Jeddah Berbeza Jeddah dengan jumlah penduduk sekitar 4.7 juta orang adalah bandar kedua terbesar di Arab Saudi dan merupakan pusat komersial utama negara tersebut. Sebuah bandar pelabuhan sejak dahulu kala dan kini merupakan pelabuhan kedua tersibuk di Timur Tengah, Jeddah adalah pintu masuk utama bagi jemaah yang menunaikan ibadah Haji dan Umrah. Budaya memancing, menyelam dan makanan laut yang berbeza berbanding kawasan-kawasan lain negara tersebut, daerah bersejarah yang disenaraikan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO dan kawasan kosmopolitan yang terkenal dengan pusat membeli-belah, hotel dan resort menjadikan Jeddah sebagai sebuah bandar gandingan yang lama dengan yang baharu sesuai dengan nama panggilan bandar ini iaitu “Jeddah Ghair” atau “Jeddah Berbeza”.
Masjid Al-Rahmah Masjid Al-Rahmah, atau Masjid Fatima Al-Zahra, adalah sebuah masjid yang dibina di pesisiran Laut Merah. Salah satu masjid yang paling banyak dikunjungi di Jeddah, masjid ini merupakan tarikan pelancong yang termasyhur di sepanjang Jeddah Corniche. Masjid Al-Rahmah menggabungkan seni bina tradisional dan kesenian Islam dengan teknologi moden dan kemudahan yang lengkap. Semasa air pasang, masjid yang dikelilingi laut dan berdiri di atas tiang ini kelihatan seolah-olah terapung di Laut Merah.
Jeddah Corniche Jeddah Corniche, atau turut dikenali sebagai Jeddah Waterfront, adalah kawasan peranginan pantai yang mempunyai dermaga, kawasan untuk berenang, restoran, hotel, pusat membeli-belah, ukiran ikonik dan jalan berlandskap sepanjang Laut Merah. Meliputi kawasan yang menjangkau 4.2 kilometer, Jeddah Corniche mampu menampung sehingga 120,000 orang dan mempunyai tempat untuk meletak sehingga 3,000 buah kereta. Air Pancut Raja Fahd yang merupakan air pancut tertinggi di dunia menurut Guinness World Records juga terletak di sini. Mencapai ketinggian sehingga 312 meter dan dinyalakan dengan 500 lampu LED berintensiti tinggi hingga tengah malam setiap hari, air pancut ini dapat dilihat sehingga dari seberang kota sepanjang tahun.
Muzium Bandar Al Tayebat untuk Tamadun Antarabangsa Sebuah muzium yang mempamerkan sejarah Islam dan pra-Islam di dalam kompleks yang merangkumi 12 buah bangunan binaan tradisional Hijazi. Muzium yang sebelum ini merupakan sebuah istana milik Sheikh Abdul Rauf Khalil mempunyai lebih dari 60,000 bahan pameran yang dipaparkan di dalam 300 buah bilik. Antara artifak bersejarah yang disimpan di Muzium Bandar Al Tayebat adalah manuskrip Islam, syiling kuno, pakaian tradisional, senjata dan perabot. Semua barangan ini menceritakan kisah bandar Jeddah serta sejarah, warisan dan budaya Kerajaan Arab Saudi.
Al Balad Al Balad, atau diterjemahkan sebagai “kota”, pernah menjadi pusat bandar Jeddah. Ditubuhkan pada abad ke-7 dan disenaraikan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2014, Al Balad terkenal dengan bangunannya yang berusia 500 tahun, masjid bersejarah dan seni bina batu karang yang rumit. Hari ini, daerah tersebut menempatkan pasar-pasar yang dikunjungi ramai, kedai roti tradisional, kafe moden dan galeri seni. Juga, banyak bangunan seperti Rumah Al Nassif yang merupakan kediaman bekas raja Arab Saudi, Abdulaziz Ibn Saud pada tahun 1925, Rumah Al Jamjoom dan Masjid Al Shafi’i telah dibaik pulih untuk tujuan pelancongan kebudayaan di kawasan ini.
Madinah Bandar Rasullullah SAW Madinah, atau secara rasminya Al Madinah Al Munawwarah yang bermaksud “Kota Bercahaya”, adalah bandar kedua tersuci dalam Islam. Dengan anggaran penduduk sekitar 1.5 juta orang, Madinah adalah kota keempat dengan bilangan penduduk tertinggi di Arab Saudi. Madinah adalah tempat di mana terletaknya Masjid Nabawi, atau Masjid Nabi, yang dibina oleh Nabi Muhammad SAW dan yang turut menempatkan makam Baginda Rasulullah SAW. Madinah dikunjungi terutamanya oleh para jemaah Haji dan Umrah sebagai destinasi ziarah.
Masjid al-Qiblatain Masjid al-Qiblatain, yang jika diterjemahkan bermaksud “Masjid Dua Kiblat”, adalah salah satu masjid tertua di Madinah. Masjid ini merupakan lokasi di mana Nabi Muhammad SAW menerima wahyu untuk mengubah arah Kiblat dari Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis ke Ka’bah di Mekah. Keunikan Masjid al-Qiblatain sebelum ini adalah dua mihrabnya yang masing-masing menghadap arah yang berbeza. Walau bagaimanapun, mihrab lama yang menghadap Baitulmuqaddis telah dikeluarkan. Nilai sejarah Masjid al-Qiblatain menjadikannya sebuah lokasi yang sentiasa dikunjungi para jemaah Haji dan Umrah.
Souq Al Tumor Souq Al Tumor, atau Pasar Kurma Madinah, adalah pasar yang terkenal dengan pelbagai pilihan kurma. Arab Saudi adalah pengeluar kurma kedua terbesar dan Madinah pula adalah sebuah bandar yang terkenal dengan kurma berkualiti tinggi. Selain menawarkan hampir 200 jenis kurma terkenal di serata dunia, pasar yang terletak berhampiran Masjid Nabawi ini juga menempatkan ratusan kedai yang menjual buah-buahan kering, kacang, manisan dan produk tempatan.
Muzium Dar Al Madinah Muzium pertama dan terbesar yang memberi tumpuan khusus kepada warisan budaya Madinah, sejarah peradaban Islam dan kehidupan Nabi Muhammad SAW. Muzium Dar Al Madinah mempamerkan koleksi foto-foto langka, gambar-gambar Madinah sepanjang zaman dan model-model mercu tanda lama buatan tangan.
Kingdom of Saudia Arabia